Showing posts with label Love Of Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Love Of Ramadhan. Show all posts

Tips 10 Malam Terakhir

Bulan Ramadhan sudah hampir tiba ke penghujungnya. Wahai muslimin dan muslimat sekalian, rebutlah pahala di sepuluh malam yang terakhir ini sesungguhnya di sepuluh malam yang terakhir ini. “Dimalam itu (Lailatul Qadr) malaikat dan ruh turun dengan izin Tuhan mereka …” (Al-Quran).

Pernah dimalam itu Al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke langit dunia, Baitul Izzah. Ramadan 1429H/2008M semakin berakhir. Mukmin sejati semakin menggiatkan ibadah mereka khususnya di seluruh 10 malam terakhirnya, yakin pahala di salah satu dari malam-malam tersebut digandakan pahalanya sebanyak ibadah yang sama dikerjakan selama 1000 bulan! Itulah malam Lailatul Qadar. Pada 10 malam tersebut, demi berebut untuk mendapatkannya, Rasulullah saw mengasingkan dirinya dari isteri-isterinya, beriktikaf di dalam Masjid Nabawi, beribadah dan bermunajat kepada Allah swt sambil diikuti oleh para Sahabat ra. Firman Allah swt bermaksud,

“Sesungguhnya Kami menurunkan (Al-Quran) dalam malam Lailatul Qadr. Tahukah kamu apa itu malam Lailatul Qadr. Malam Lailatul Qadr lebih baik dari 1000 bulan. Malaikat dan ruh turun pada malam itu dengan izin Tuhan mereka dalam semua urusan. Salam (sejahtera) malam tersebut hingga naik fajar” (Al-Quran).

Diantara ibadah-ibadah yang boleh dilakukan ialah qiamulail, puasa fardhu, berbuka, solat Tarawih, tilawah Al-Quran, berdoa, zikir, istighfar, memuhasabah diri, merancang untuk amalan diri, keluarga dan Dakwah dan sebagainya.

Tips
Beberapa tips dalam merebut pahala dan kelebihan malam Lailatul Qadr :

1. Bersedia untuk merebutnya dari sekarang terutama disegi keyakinan, kesungguhan merebut peluang tahunan ini dan merancang kalender harian agar mengosongkan 10 malam-malam terakhir tersebut untuk tujuan itu semata-mata, tidak untuk kesibukan lain.

2. Memahami bahawa dimana jawatan, kedudukan dan kesibukan kita di dunia ini, tujuan utama manusia dijadikan ialah untuk beribadah kepada Allah swt dengan penuh keikhlasan, bersedia untuk “Hari (Akhirat) yang tiada gunanya lagi harta dan anak-anak, melainkan orang yang bertemu Allah dengan hati yang sejahtera” (Al-Quran).

3. Putuskan dari sekarang masjid mana yang akan kita gunakan untuk Iktikaf, siang dan malam, samada sebahagian atau 24 jam sehari. Pastikan AJK masjid tersebut memahami ibadah Iktikaf dan Qiyamullail 10 Malam terakhir agar tidak berlaku masalah pengurusan dengan mereka yang tidak memahaminya.

4. Dapatkan teman agar sama-sama dapat melakukan ibadah tersebut secara berjemaah.
5. Jika anda
bekerja dibawah majikan, kenalpasti hari-hari yang akan dimohon cuti agar dapat lebih hari untuk beriktikaf di masjid. Jika anda tidak dapat mengambil cuti kerja, anda boleh cuba berktikaf di masjid sepenuhnya dalam cuti hujung minggu pada hari Sabtu 27/9/2008 dan Ahad 28/9/2008.

6. Jika anda seorang pelajar, cuba habiskan kerja-kerja rumah atau assignments dari sekarang agar tidak tertimbun pada 10 malam terakhir Ramadan. Beli tiket balik kampung lebih awal agar tidak disibukkan mencari tiket nanti.

7. Bersedia untuk Aidil Fitri lebih awal, sebelum 10 Malam Terakhir, agar kita tidak disibukkan nanti dengan membeli belah, memasang langsir, membuat kuih muih, menyiap atau menjahit pakaian Raya dan sebagainya seperti yang sering berlaku pada ramai orang yang kurang memahami dan menghayati kelebihan 10 malam terakhir Ramadan.

8. Memahami bahawa asas perubahan ke arah kebaikan pada seseorang bahkan pada sesebuah umat ialah pembaikan jiwa yang ada di dalam diri masing-masing. Madrasah 10 Malam Terakhir Ramadan yang bakal dilalui boleh turut membantu mencapai kearah perubahan tersebut.

Semoga Allah mengurniakan ketaqwaan kepada kita setelah menjalani ibadah di bulan Ramadan ini. Kita keluar darinya nanti dengan beroleh rahmah, keampunan dan selamat dari api neraka. Ameen.

Tanda-tanda Kehadiran Lailatulqadar

Kata sesetengah ulama, Lailatulqadar berlaku pada satu malam tertentu seperti malam 21 dan 23 Ramadan. Ini menurut Imam Syafie r.a dan sesetengah ulama kerana ada hadis Bukhari dan Muslim yang menceritakan Lailatulqadar berlaku pada malam tersebut sehingga Rasulullah saw sujud dan dahinya yang mulia masih berlumuran tanah pada malam itu. Ada sesetengah ulama, tidak menentukannya secara pasti dan ada juga ulama terutama dari kalangan para zuhad dan sebagainya mengira dengan hari permulaan puasa.


Menurut mereka, sekiranya permulaan puasa jatuh pada hari Ahad atau Rabu maka Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-29. Jika bermula puasa pada hari Jumaat atau Selasa, ia jatuh pada hari ke-27 dan jika permulaan puasa pada Khamis, Lailatulqadar berlaku pada 25 Ramadan. Sekiranya awal puasa pada Sabtu maka Lailatulqadar jatuh pada hari ke-23 dan jika awal puasa pada Isnin, seperti tahun ini, maka Lailatulqadar jatuh pada malam yang ke-21. Demikianlah kaedah yang diguna pakai oleh sebahagian ulama termasuk Imam Abul Hasan r.a. Tegas beliau: Aku tidak pernah terlepas malam Lailatulqadar tersebut dengan menggunakan kaedah ini''.


Tanda dan alamatnya adalah banyak, antara lain malam itu sendiri berlalu dengan penuh keheningan dan tenteram, angin bertiup lembut sepoi-sepoi bahasa dan esoknya, pada pagi hari kelihatan langit agak redup dan cahaya matahari tidak begitu menyinari ruang angkasa dan macam-macam lagi. Hikmatnya ialah apabila seseorang mengetahui malam Lailatulqadar tersebut, maka eloklah diperbanyakkan doa dan istighfar juga ibadat pada malam dan keesokannya, untuk mendapatkan fadilat hari yang penuh berkat dan mulia itu. Yakinlah apabila seseorang itu bersedia setiap malam Ramadan dengan ibadat, sekurang-kurangnya bersolat jemaah setiap waktu, Maghrib, Isyak dan Subuh, kata ulama dia pasti memperoleh fadilat malam Lailatulqadar


Oleh itu bersolatlah dengan tekun dan berterusan terutama pada bulan Ramadan al-Mubarak ini. Walau tinggal beberapa hari saja lagi malam-malam di bulan Ramadhan, pastikan kita menjadi juara diakhirnya nanti. Semoga Ramadhan kali ini menjanjikan kita kemenangan. Kemenangan melawan dan menguasai hawa nafsu. InsyaAllah.

Ramadhan bersama Rasulullah

CELAKALAH DIA..

Rasulullah s.a.w melangkah naik ke mimbar.Baru memijak tangga pertama,spontan saja terpacul dari mulut baginda ucapan 'amin'.Meletakkan kaki ke tangga ke dua,rasulullah ulangi lagi kalimah yang sama. dan 'amin' juga yang baginda lafazkan setelah berdiri di tangga yang berikutnya.

Perbuatan rasul itu terasa aneh dalam pandangan kaum muslimin yang ada di situ.Gerangan apakahb yang mendorong rasulullah melafazkan ucapan "perkenankanlah" itu.Doa siapakah yang di aminkan baginda? semestinya permintaan kekasih Allah itu tiba terus ke hadrat Kekasihnya tanpa hijab dan tempoh.

Tidak mahu tersesat dalam selirat andaian dan teka-teki, sahabat pun bertanya kepada rasullulah s.a.w setelah baginda turun dari mimbar.Rasul menjawab ,'Jibril muncul di hadapan ku dan berkata, ' celaka lah orang yang melalui bulan ramadhan yang diberkati tanpa memperoleh keampunan.' lalu aku mengaminkan ucapan Jibril itu.

'Naik ke tangga kedua, Jibril berkata lagi, 'celakalah orang yang apabila disebutkan namamu,dia tidak berselawat ke atasmu.' Lalu aku mengamin kan ucapan Jibril.Apabila aku melangkah ke tangga ke tiga, Jibrail berkata,'Celakalah orang yang semasa hidupnya,ibubapanya atau salah seorang daripada mereka mencapai umur tua(dia gagal berkhidmat kepada mereka) menafikan dirinya memasuki syurga". Lalu aku menyebut amin'.

HUTANG PUASA..

"Wahai Rasullulah.." seorang wanita menyapa." ibuku telah meninggal dunia.sedangkan dia berhutang puasa sebualan.bagaimanakah itu?"

Baginda Rasukllullah menjawab dengan sebaris persoalan, 'bagaimanakah pendapatmu, di andaikan ibumu ada berhutang dengan seseorang, adakah engkau akan membayarnya?"

"Sudah tentu, wahai rasullullah", balas wanita itu cepat.

"Hutang kepada Allah lebih patut di bayar", kata rasullulah s.a.w.

Gesaan itu diteguhkan lagi dengan sepotong sabda," Siapa yang meninggal dunia sedangkan dia mempunyai hutang puasa,maka hendaklah di bayar oleh walinya (penjaga)." (Riwayat Muslim)

Khabarkan Hutang pada Penjaga kita, agar hutang itu tidak menyeksa kita di bilik enam kaki bawah tanah nanti.. Ya Allah, berikan daku keampunan hingga penghujung ramadahan hingga penghujung hayat sekalipun.. Ya Allah , izinkan agar daku tidak hadir dalam golongan yang celaka itu.. Berilah daku petunjuk dan Hidayah.. Amin

Kasihku Pada Ramadhan

Ramadhan yang penuh makrifat
Ramadhan ditunggu-tunggu kembali menjengah hati setiap Muslim
memekarkan keberkatan dan kebesaranYang Maha Kuasa

Ramadhan yang menyejukkan hatiku yang melembutkan kerasku
yang mendamaikan gelodak rasaku yang menghilangkan amarahku
yang menghadiahkan penghargaanku buat insan-insan tersayang
yang menambahkan cinta kasihku pada Yang Satu

Ramadhan syarul Syiam berikan aku kekuatan akal, fizikal, hati dan iman
jauhkan aku daripada perkara yang dikeji

yang mengurangkan keberkatan
ya Mutakkabir

Ramadhan syarul Qiyam
malam-malammu malam terindah dalam hidup
malam-malam yg penuh ibadah
malam-malam yang penuh berkat lalu,
haruskah aku membiarkan malam-malammu berlalu sepi
tanpa sujud syukurku pada Ar-Rahman
Ar-Rahim

Ramadhan syarul Quran
bait-baitmu adalah puisi agung
yang menyuntik penawar terbaik buat hati dan jiwaku
patah perkataanmu adalah keajaiban
adalah mukjizat dengan nikmat yang tertinggi
yang menjadi peganganku
penunjuk arah dalam langkah perjalananku
yang menyalurkan kasih suciku buat Yang Maha Agung

Ramadhan syarul Tarbiyah
hari-harimu adalah satu didikan buatku
yang menundukkan egoku yang menghilangkan rasa dendamku
yang menjernihkan segala keruh dihatiku
yang memupuk keinginanku menghayati sifat kekasih Allah
yang mulia disisi-Nya

Ramadhan syarul Jihad pada setiap langkahku
setiap degup nafasku setiap denyut nadiku
setiap detik ingatanku

Islam adalah matahari bagi hatiku
bulan bagi jiwaku bintang bagi mataku

Ramadhan perjuanganku menggapai solehah baru bermula
pertemukan aku pada ketibaan-ketibaanmu yang akan datang
rasa rindu dan kasih ini akan selalu mengiringiku sepanjang waktu
selama mana nafas masih menjadi milikku

YA ALLAH
sesungguhnya Engkau tahu setiap bait puisi hatiku

Puasa, Iman dan Taqwa

Kalau solat menjadi tanda aras dan kayu ukur penganut ajaran Tauhid, nescaya hal ini sukar kita bincangkan. Ini kerana, sukar kita melihat penganut agama, selain Islam melakukan solat.

Walaupun sesekali kita pernah terdengar dan membaca bahawa di sana, ada beberapa penganut agama Yahudi misalnya pernah bersolat seperti penganut Islam juga. Tetapi, dalam realiti sekarang, sulit untuk kita perhatikan gerak laku solat penganut agama lain yang mirip kepada Islam.

Al-Qur'an yang merincikan solat penganut agama lain dengan penganut Islam terletak pada surah Ali Imran ayat 43. "Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan solat) bersama-sama orang-orang yang rukuk."

Ada riwayat yang menyatakan bahawa solat yang mempunyai rukun rukuk di dalam solat ialah solat penganut Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ini kerana solat penganut Nasrani tidak mempunyai rukuk. Wallahu'alam..

Menurut sesetengah pendakwah dan penceramah yang dahulunya Kristian Nasrani, pernah menyatakan bahawa Nabi Isa a.s menunaikan solat; suatu upacara keagamaan, ajaran Tauhid yang berasal daripada Ibrahim a.s.

Bagaimanapun, ciri-cirinya yang asli telah luput ditelan gelombang putaran ganas dan keasliannya rupa parasnya telah pudar dilapah arus masa.

Puasa, lambang amalan agama samawi

Oleh kerana, dialog mengenai agama di negara kita belum mencapai tahap yang baik, maka ada beberapa hal perbincangan yang tidak dapat kita lanjutkan di sini.

Bagaimanapun, tetap sahaja ada amalan agama Islam yang masih sama dan mirip kepada ibadat penganut Islam, iaitu puasa.

Manakala, amalan-amalan lain seperti solat, zakat dan menunaikan fardhu haji tidak mirip kepada amalan penganut lain.

Seperti yang difirmankan Tuhan di dalam al-Qur'an, "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (Al-Baqarah: 183)

Pertamanya, dari nas ini umat Islam dapat mengenali agama-agama lain sebagai agama samawi dengan merujuk amalan berpuasa itu. Antara agama-agama yang memiliki ciri persamaan dari sudut amalan ini, iaitu berpuasa ialah Buddha, Hindu, Kristian dan juga Yahudi. Bagaimanapun, cara bagaimana amalan berpuasa dilaksanakan, ada sedikit perbezaan.

Jenis dan martabat berpuasa itu juga berbeza-beza mengikut agama, adat budaya bangsa dan martabat kerohanian seseorang itu.

Lantaran itulah, Tuhan menyatakan di hujung ayat itu, dengan harapan, amalan berpuasa yang kita lakukan itu dapat meningkatkan martabat kerohanian kita ke darjat ketaqwaan, iaitu darjat yang teragung dan paling tinggi.

Beriman atau bertaqwa?

Disebutkan dalam al-Qur'an, bahawa Tuhan menyeru orang yang beriman agar mencapai darjat ketaqwaan. Ini kerana, orang yang beriman, belum tentu dapat mencapai darjat ketaqwaan. Tapi, orang yang bertaqwa, sudah pastilah mereka beriman.

"Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya, dan janganlah kamu mati melainkan berada dalam Islam. (Ali Imran: 102)

Juga kepada orang yang beriman itu, Allah s.w.t meminta mereka bertaqwa dengan cara menyatakan perkara yang benar walaupun pahit didengar. Ini kerana, orang yang beriman pun belum tentu dapat menyatakan perkara yang benar.

"Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, maka Allah memperbaiki bagi amalan-amalanmu, dan mengampuni bagimu dosa-dosamu.." (Al-Ahzab: 70 - 71)

Maka, hendaklah orang-orang yang beriman itu berjuang mendapatkan tempat di martabat ketaqwaan. Ini kerana, hanya yang mampu menyatakan kebenaran itulah yang layak digelar mencapai darjat ketaqwaan.

Orang-orang yang beriman turut diseru mencapai darjat ketaqwaan dengan menyediakan amalan sebagai bekalan untuk hari akhirat mereka. Ini kerana, ramai orang beriman, tetapi seperti tidak mengendahkan amalan mereka untuk akhirat.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah, dan menghapuskan segala kesalahan kamu serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar." (Al-Anfal: 29)

Kita biasa berdepan dengan kebuntuan hidup dalam kehidupan. Seolah-olahnya mereka gagal mengenal mana satu berlian dan permata, yang mana intan dan yang mana kaca. Mana yang betul dan salah.

Dan, kita seperti tidak berupaya mencari penyelesaiannya. Kenapa jadi begitu, walhal kita telah mengaku beriman kepada Tuhan? Mustahil Tuhan akan meninggalkan orang-orang yang beriman itu teraba-raba dalam mencari jawapan terhadap setiap permasalahannya itu.

Maka, jawapannya ialah - orang yang beriman yang ditimpa permasalahan tadi, masih tidak mencapai darjat ketaqwaan. Dan jika orang yang beriman itu bertaqwa, maka niscaya Tuhan menunaikan janjinya dengan cara memberikannya petunjuk.

Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmanNya, "Hai orang-orang yang beriman! Jauhi banyak berprasangka. Sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu dosa. Dan jangan kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah antara kamu suka memakan bangkai saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang." (Al Hujuraat: 12)

Perbezaan lain antara orang yang beriman dan bertaqwa itu ialah insan yang beriman itu masih lagi tidak membebas diri daripada sikap prasangka, mengumpat dan mencela saudara mereka, mencari-cari keaiban orang lain untuk dihebah.

Maka, orang yang beriman dan telah sempurna jiwanya kerana kerohaniannya melompat ke darjat ketaqwaan itu, akan bersih lidahnya daripada mengumpat dan telinganya dibersihkan daripada mendengar keaiban orang lain.

Ada banyak lagi perbezaan sikap antara orang yang beriman dan bertaqwa ini. Dan, seperti yang termaklum, amalan puasa itulah antara salah satu daripada amalan yang mampu meletakkan kerohanian seseorang ke darjat ketaqwaan jika diamalkan dengan penuh keikhlasan dan kewaspadaan.

Orang yang berpuasa, digalakkan untuk tidak mencampuri urusan mendengar keaiban orang lain, selalu menyibukkan dirinya dengan zikrullah dan wirid.

Jika semua ini tercapai, maka lahirlah sikap suka menegakkan kebenaran, menyatakan yang benar di depan pihak berkuasa, kerap muhasabah tentang bekalan akhirat dan lain-lain ciri ketaqwaan yang lain.

Puasa telah menyebabkan anggota kita letih untuk melakukan maksiat dan amalan kerohanian itulah yang akan menguatkan kembali jiwa dan raga kita untuk meneruskan kehidupan.

Amalan berwirid dan berzikir di bulan Ramadhan akan menyebabkan kita kembali kepada fitrah yang suci dan asal, jika dilakukan dengan sempurna dan ikhlas menuju rahmat Allah.

Bercadang Untuk Tidak Berpuasa

Ustaz, saya bercadang untuk tidak berpuasa di bulan Ramadhan ini sebab saya terpaksa menduduki peperiksaan”, kata seorang mahasiswi melalui emailnya kepada saya.

“Saya yang lemah iman tidak mungkin boleh berpuasa Ramadhan ini sebab aktiviti minggu orientasi yang berat!”, maklum seorang mahasiswa pula.

“Saya terlalu bernafsu kuat dan sering melakukan masturbasi termasuk di Ramadhan ini. Apakah nasib saya ustaz?”, tulis seorang… maaf bukan seorang, tapi beberapa orang pelajar perempuan melalui email kepada saya. Ya, perempuan. Bukan lelaki.

Muka saya merah, telinga kepanasan.

Jika hanya seorang yang bercadang untuk tidak berpuasa, saya dengan mudah menganggapnya sebagai kes terpencil. Tetapi Ramadhan kali ini saya dihubungi oleh sejumlah mahasiswa dan mahasiswi yang telah awal-awal lagi berazam untuk TIDAK BERPUASA, kerana ada sesuatu yang berlaku di dalam hidup mereka selain makan dan tidur.

Peperiksaan…
Aktiviti minggu orientasi…

Banyak bekerja shif malam…

BUKAN TERPENCIL

Kesemua email yang saya terima di bawah kategori ini saya himpunkan tanpa tergesa-gesa menjawabnya. Sengaja saya kumpulkan sehingga selesai seminggu pertama Ramadhan. Jumlahnya signifikan. Datangnya dari empat penjuru bumi. Mengecewakan!

Di manakah silapnya?

Kelemahan jati diri anak watan kita ini sudah amat kritikal. Tolaklah ke tepi semangat-semangat yang sedang dicari untuk berjihad, membela umat, membebaskan Palestin dan menebus kemunduran bangsa.

Cukup sekadar saya katakan, mungkin ini salah satu sebab mengapa Malaysia gagal mendapat pingat emas di dalam Sukan Olimpik. Negara ini melahirkan bangsa manusia yang lemah determination biar pun tinggi IQ, hebat teknologi, mewah kemudahan prasarana, banyak ilmu dan lebih segala-galanya.

Semuanya terbangun dan bangkit ‘maju’, kecuali manusianya. Terlupa prima kausa!

AMARAN
Perbuatan menyengajakan tidak berpuasa atau berbuka tanpa uzur syar’ie yang kita sedia maklum, adalah dosa besar yang berat ancamannya dari Allah dan Rasul-Nya.

Daripada Abi Umamah al-Bahili beliau berkata, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : Semasa aku sedang tidur, datang dua lelaki kepadaku dan mendapatkan aku pada tangannya lalu membawa aku ke hujung gunung. Mereka berkata : Naiklah ke atas. Aku berkata: Aku tidak boleh. Mereka berkata. Sesungguhnya kami akan mempermudahkan bagimu. Maka aku mendaki sehingga sampai ke kemuncak gunung tersebut. Kemudian aku mendengar suara-suara yang kuat. Aku berkata : Suara apakah itu? Mereka berkata: Ini adalah suara pekikan manusia dari neraka. Kemudian aku bergegas sehingga aku melihat manusia digantung di belakang lutut mereka, dengan di tepi mulut-mulut mereka koyak dan darah keluar dari mulut-mulut mereka. Aku berkata: Siapakah mereka ini? Mereka berkata: Ini adalah mereka yang berbuka puasa sebelum waktunya. – [Hadith disahihkan oleh al-Albani di dalam Mawaarid al-Zam’aan, #1509]

Wahai adik-adikku, teguhkanlah jati diri kalian. Jangan jadikan keselesaan hidup hari ini fitnah ke atas dirimu! Susah hidup semalam dan senang selesa hidup hari ini, semuanya menuju ke KESUSAHAN AKHIRAT yang SAMA. NERAKA YANG SAMA.

Doaku agar kita bertemu di SYURGA.

Mari Memaksimumkan Bonus Ramadhan

Bagi memastikan sempurnanya puasa serta mampu memaksimakan pahala dan keuntungan dari Ramadhan, amalan yang berdasarkan nas yang kuat berikut perlu dilakukan:-

1) Berniat dalam hati untuk berpuasa di malam hari.

2) Bersahur di akhir malam (yang terbaik adalah jaraknya dengan azan subuh selama bacaan 50 ayat al-Quran secara sederhana).

Nabi SAW bersabda :
"Perbezaan di antara puasa kami (umat Islam) dan puasa ahli kitab adalah makan sahur." (Riwayat Muslim)

"Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Baginda SAW juga menyebutkan bahawa malaikat sentiasa meminta ampun bagi orang yang bersahur. (Riwayat Ahmad)

Selain makan tatkala itu adalah amat digalakkan kita untuk mendirikan Solat Sunat Tahajjud, Solat Sunat Witir dan beristifghar dan lain-lain amalan sebelum menunaikan Solat Subuh berjemaah (bagi lelaki). Adalah amat tidak digalakkan bagi seseorang yang bersahur dengan hanya makan di sekitar jam 12 malam sebelum tidur. Kebanyakan individu yang melakukan amalan ini sebenarnya amat merasa berat dan malas untuk bangun di tengah malam. Ia pada hakikatnya adalah tidak menepati sunnah yang diajarkan oleh baginda SAW.

3) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa.

Terdapat ramai ulama silam menyebut tentang kepentingan mendahulukan membaca Al-Quran di atas amalan sunat seperti menelaah kitab, membaca hadis dan lain-lain. Ia adalah salah satu amalan yang paling diambil berat oleh Nabi SAW ketika baginda membacanya bersama Malaikat Jibrail a.s. Hal ini disebut di dalam hadis al-Bukhari.

4) Memperbanyakkan doa semasa berpuasa.

Sepanjang waktu kita sedang menjalani ibadah puasa, ia adalah sentiasa merupakan waktu yang sesuai dan maqbul untuk kita berdoa, sebagaimana di tegaskan oleh Nabi SAW :-

Ertinya : "Tiga yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, orang yang dizalimi sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang" (Riwayat Al-Bazaar)

Sebuah hadis lain yang hampir sama maksudnya menyebutkan :-

Ertinya : “Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi" (Riwayat At-Tirmizi)

5) Memperbanyakan doa ketika hampir berbuka.

Ini kerana tahap maqbul tatkala itu semakin hebat berdasarkan hadis Nabi SAW :-

Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala waktu berbukanya,adalah waktu doa yang tidak ditolak." (Riwayat Ibn Majah)

6) Menyegerakan berbuka puasa selepas pasti masuk waktu maghrib.

Berdasarkan hadis Nabi SAW :-
artinya : "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepanjang kamu menyegerakan berbuka" (Riwayat Al-Bukhari)

Berbuka juga perlu didahulukan sebelum menunaikan Solat Maghrib, malah jika pada hari tersebut tahap kelaparan kita agak luar biasa, lebih baik kita berbuka dan makan sekadar perlu agar kelaparan tidak mengganggu Solat Magrhib kita. Disebutkan bahawa tidaklah Nabi SAW menunaikan Solat Maghrib kecuali setelah berbuka walaupun hanya dengan segelas air.

(Abu Ya'la dan al-Bazzar)

7) Adalah digalakkan pula untuk berbuka dengan beberapa biji rutab (kurma basah) atau tamar (kurma kering) sebagai mengikuti sunnah, dan jika tiada keduanya mulakan dengan meneguk air. Ertinya : “Rasulullah SAW berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rutab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air".

8) Amat disunatkan untuk sedekah harta bagi mempersiapkan juadah berbuka untuk orang ramai terutamanya orang miskin.

Nabi SAW bersabda :-
Artinya : Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun" (Riwayat At-Tirmidzi) Disebut dalam sebuah hadis lain, Artinya : Barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa (berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini dengan satu minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga" (Riwayat Al-Baihaqi)

9) Menunaikan Solat Sunat Terawih pada malam hari secara berjemaah buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian.


Ia berdasarkan hadis riwayat An-Nasaie yang sohih. Boleh juga untuk menunaikannya separuh di masjid dan separuh lagi di rumah, terutamanya bagi sesiapa yang ingin melengkapkan kepada 20 rakaat.

10) Memperbanyakkan bersiwak (yaitu menggunakan kayu sugi tanpa air dan ubat gigi). Ia juga sohih dari Nabi SAW dari Riwayat al-Bukhari.

11) Amaran bagi berbuka di siang Ramadhan tanpa uzur.

Selain itu, Nabi juga menyebut bahawa : "Barangsiapa yang berbuka tanpa uzur pada Bulan Ramadhan, maka ia tidak mampu menggantikan kerugian dari puasa yang ditinggalkan itu, walaupun ia berpuasa selama-lamanya" (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah)

Hati Itu Kunci

Hati Adalah Radar Yang Ajaib

Pernahkah anda rasa berdebar-debar, gelisah, tidak tenteram, tidak sedap hati dan sebagainya?
Semua fenomena itu sebenarnya adalah isyarat yang dipancarkan oleh hati seseorang bahawa ada sesuatu yang menjadi ancaman kepada diri manusia dan ianya dapat dikesan oleh hati.

Sabda Rasullulah s.a.w:
'Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya. Tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Dan daging yang dimaksudkan adalah hati.'

Hati adalah ibarat raja bagi tubuh badan manusia. Di sinilah tersimpan tenaga yang hebat seperti pemikiran dan tenaga emosi. Jika hati seseorang itu diisi dengan sifat mahmudah(baik) maka hebatlah seluruh anggota badannya dan akan melahirkan seseorang yang berakhlak mulia. Jika hati telah dikotori dengan sifat mazmumah(keji) maka rosaklah peribadi dan akhlak seseorang itu.

Hati adalah radar yang hebat untuk mengesan perbuatan manusia, sama ada mengesan perkara yang baik atau buruk. Apabila kita melakukan perbuatan yang berdosa, kita akan mudah untuk rasa berdebar-debar dan cemas.Seterusnya ia akan menyebabkan kita rasa gelisah dan tertekan.

Isyarat ini sebenarnya bertujuan untuk menyuruh supaya seseorang untuk kembali pada Allah. Apabila kita memohon keampunan dan bertaubat maka hati kita akan kembali tenang.Hati yang berpenyakit dari segi batin perlu dirawat seberapa segera kerana ianya bukan sahaja memberikan kemudaratan pada ketenteraman jiwa malah boleh menyebabkan penyakit pada anggota badan.

Bagaimana hati mendapat tenaga dan kekuatan?

Makanan hati adalah taqwa kepada Allah.Zikir, membaca Al-Quran, menuntut ilmu agama, memberi zakat, bersedekah dan berbaik sangka adalah makanan hati yang enak dan lazat. Jika hati tidak diberi makan, maka seseorang itu akan menghidap penyakit batin dan zahir.Dengan cara memberikan makanan pada hati,barulah seseorang berhak untuk memperolehi kebahagiaan.

Apakah cara untuk merawat hati yang berpenyakit dan menghidupkan hati yang mati?

Caranya ialah dengan ber
taubat.Meminta keampunan, mengingati kematian dan sentiasa melakukan amal kebajikan.Ini akan memulihkan dan menghidupkan semula hati.

Hanya dengan mengingati Allah seperti dalam firman Allah;

'(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.' (Ar-Ra'd :28)


Apabila hati kita mendustakan ayat-ayat Allah maka termasuklah kita dalam kategori hati yang berpenyakit sepertimana firmanNya;

'Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.' (Al-Baqarah:10)

Oleh itu,apabila hati kita mengesan sesuatu yang tidak menyenangkan maka marilah kita segera kembali kepada Allah sebelum hati kita menjadi keras.Ingatlah pesananNya yang bermaksud:

'Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik.'(Al-Hadid:16)

Tanda-tanda Taubat Diterima ALLAH

Seorang ahli hikmah ditanya mengenai taubat. Bagaimanakah kita hendak mengetahui taubat kita telah diterima Allah atau tidak? Maka jawabnya, ini adalah urusan Allah,kita tidak berupaya menentukannya,...tetapi kita boleh melihat pada tanda-tandanya iaitu:

  1. Bagi hamba-hamba yang bertaubat itu bila dia merasakan di dalam dirinya masih ada dosa-dosa yang masih belum terhakis.

  2. Hatinya lebih tenteram dan suka mendekati orang-orang yang solih daripada mendekati mereka-mereka yang fasik.

  3. Bila dia merasakan di dalam dirinya telah hilang perasaan gembira, sebaliknya sentiasa datang perasaan sedih kerana takutkan azab Allah.

  4. Bila dia melihat pada dirinya yang sentiasa sibuk dengan menunaikan kewajipan terhadap Allah sebaliknya sedikit pun dia tidak sibuk meguruskan rezekinya yang telah dijamin oleh Allah.

  5. Sungguhpun sedikit rezeki yang dia dapat di dunia ini namun ia tetap melihatnya banyak, tetapi walaupun banyak amalan untuk akhirat yang telah dikerjakannya namun ia tetap merasa sedikit.

  6. Bila dia melihat pada dirinya yang sentiasa menjaga lidah dan ucapannya, sering bertafakur dan selalu berada di dalam keadaan sedih dan menyesal.

Sama-samalah kita memperbanyak lafaz istighfar memohon keampunan kepada Allah yang Maha Pengampun. Semoga dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini, kita semua akan tergolong di dalam golongan mereka yang mendapat maghfirah Allah ta'ala.Insya Allah

Ramadhan Untukku

Aku merinduimu
Kini kau kembali
Betapa girangnya hatiku
Menyambut kedatanganmu
Masih ku ingat tragedi lepas
Pemergianmu mengundang seribu kepiluan
Sebaknya dada melihat kau pergi
Aku menangis
Aku merintih
Tidak terdaya ku menghentikanmu
Dari pergi dariku
Andai diberi pilihan
Akanku mohon keberadaanmu di sisiku selamanya

Kini kau kembali
Membawa sejuta harapan
Menyinari diriku
Menerangi hatiku
Dengan keteguhan iman
Yang tiada bandingan
Kaulah harapanku
Kaulah peneguh imanku
Kaulah pengubat luka
Semoga diriku
Akan lebih berbahagia di bulanmu, RAMADHAN.........

Ramadhan Sia-sia Tanpa Fokus

Sepertimana yang telah kita ketahui, bulan Ramadhan ada kelebihannya yang tersendiri yang tidak dapat di dalam bulan-bulan lain disamping tuntutan melaksanakan ibadah berpuasa yang menjadi trademark bulan Ramadhan. Kelebihan yang ada merupakan salah satu daripada banyak-banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita diantaranya, Allah menjadikan setiap bulan-bulan Islam itu ada kelebihan dan ceritanya yang tersendiri. Bagi bulan Ramadhan, ibadah puasa dan ibadah-ibadah lain yang dilakukan akan mendapat ganjaran pahala berganda. Ianya juga menjadi titik tolak kepada keberjayaan seseorang dalam mencapai pangkat 'muttaqin' sebagaimana yang disebutkan di dalam firman Allah s.w.t :

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Surah Al-Baqarah, ayat ke-183).

Ya ! Taqwa menjadi kayu ukur kepada pencapaian seseorang itu sebagai hamba Allah. Tanpa taqwa , hidup seribu tahun pun ia tetap tidak berguna. Maka apakah kunci taqwa? Salah satu jawapan yang boleh saya kongsi ialah 'fokus'.

Sebenarnya setiap ibadah yang dilakukan samaada di dalam bulan Ramadhan mahupun diluar bulan Ramadhan perlu kepada fokus. Ibaratnya seperti pertandingan menembak. Mata yang memerhati objek itu tidak boleh hilang fokusnya. Sekiranya si penembak gagal mengawal matanya serta anggotanya supaya sentiasa di dalam keadaan fokus, maka objek yang ditembak pasti tidak mengena. Maknanya di sini, fokus boleh diterjemahkan dengan beberapa maksud. Diantaranya ialah khusyu' dan kata kuncinya ialah sebagaimana sabda Nabi s.a.w:

"Engkau beribadah seolah-olah engkau melihat Allah, maka sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, sesungguhnya Allah melihat kamu."

Di awal surah Al-Mukminun, ada menyatakan bahawa fokus itu merupakan salah satu kunci yang membawa kepada kejayaan.

"Berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyu' di dalam solatnya."

Jika kita lihat, semasa bulan Ramadhan, antara ibadah-ibadah utama yang dituntut untuk dilaksanakan ialah berterawih, membaca Al-Quran dan bersedekah. Maka, yang dikatakan pahala amalan akan digandakan ketika bulan Ramadhan adalah bergantung kepada kualiti dan kuantitinya. Kalau terawih kuantiti rakaatnya banyak akan tetapi fokusnya sedikit , maka ganjarannya berdasarkan apa yang dilaksanakan. Apatah lagi, kalau tiada fokus lansung, maka ibadah tersebut menjadi sia-sia. Saya kadang-kadang terfikir, apakah matlamat kita sebenarnya? Kalau kita kata, kita inginkan keampunan, maka keampunan itu tidak akan diperolehi tanpa fokus.

Contohnya, fokus kita hilang ketika berpuasa atau ketika menunaikan solat terawih. Kita mengisi waktu puasa kita dengan perkara sia-sia bahkan lebih teruk lagi kita tuliskan di buku catatan amalan puasa kita dengan perkara-perkara dosa. Sedangkan, jika keampunan adalah matlamat kita, maka fokuslah kearahnya. Manakala solat yang tidak khusyuk itu sebenarnya tidak lebih hanya menyakitkan pinggang kita dan melenguhkan sendi-sendi kaki yang menahan bebanan berat badan. Maka solat kita musnah tanpa sebarang kesan akibat tiada fokus atau kekhusyukan.

Mungkin ada diantara kita, pernah melalui situasi ini, maka beristighfarlah. Saya yakin, syaitan pasti menyukainya. Diantara janji syaitan ialah mereka ingin melihat manusia berada di dalam keadaan faqir. Iaitu faqir pahala manakala sebaliknya mereka berjanji untuk menjadikan kita orang yang kaya dengan dosa. Bulan Ramadhan adalah bulan jihad. Orang kata syaitan tidak ada, tapi kita tahu nafsu masih ada dan takkan melepaskan kita kecuali maut telah tiba. Dan disitulah peranan jihad.

Jihad juga memerlukan fokus kerana jihad tidak terjadi andai tiada ujian dan cabaran. Maka, nafsu adalah cabaran utama bagi orang yang berpuasa. Contoh fokus di dalam jihad ialah, tidak membiarkan minda kita dikuasai kehendak nafsu yang mengurangkan atau menghilangkan pahala puasa ketika kita menurut kehendaknya yang tidak pernah puas. Puasa adalah perisai. Maka fokus adalah perlu bagi memperolehi puasa yang bermakna. Kalau hampir 14 jam kita menahan lapar dalam sehari, janganlah dengan sekelip mata di waktu berbuka, kita menjadi gelojoh. Sebaiknya berbukalah dengan cara sederhana supaya fokus kita berterusan tanpa gangguan nafsu yang sentiasa menggoda. Oleh sebab itu perut yang lapar dapat menajamkan fikiran manakala perut yang kenyang adalah sebaliknya.

Pengalaman berbuka puasa di dalam bulan Ramadhan adakalanya tidak membawa erti apa-apa jika tidak bersederhana. Natijahnya apabila tiba waktu menunaikan solat terawih, kita gagal memberi fokus melainkan hanya merelakan anggota digerak-gerakkan penuh paksa. Allah s.w.t berfirman :

"Celakalah bagi orang-orang yang sembahyang, iaitu orang-orang yang lalai di dalam sembahyang mereka." (Surah Al-Ma'uun : ayat ke-4 & 5)

Bagi diri saya, saya menyedari hal ini kerana adakalanya atau sering saja kita hilang fokus ketika bersolat begitu juga keadaannya ketika berpuasa. Sebenarnya tulisan ini, adalah untuk kita bersama lebih-lebih lagi diri saya. Maka, istighfar dan taubatlah sebagai jalan penghapus dosa. Iaitu dosa di atas fokus yang hilang dan dosa maksiat yang telah dilakukan. Ingatlah bahawa bulan Ramadhan juga adalah bulan taubat dan pengampunan.

"Barangsiapa berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap pahala, niscaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu." (HR Bukhari, no. 1901; Muslim, no. 760).

Maka, fokus menjadi aset menuju taqwa. Ramadhan yang dilalui akan menjadi sia-sia tanpa fokus. Bersama jadikan madrasah Ramadhan sebagai momentum perubahan.

Ganjaran Eksklusif Puasa

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Segala lafaz pujian bagi Allah, Tuhan yang Menguasai sekalian alam. Maha suci Allah, Tuhan Pemilik ‘Arasy yang agung. Selawat dan salam ke atas semulia-mulia makhluk, Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam, juga kepada ahli keluarga baginda yang mulia serta para sahabat baginda yang terpuji.

Ayuh, marilah kita sama-sama merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala kerana dengan keizinan-Nya kita masih lagi diberikan kesempatan untuk melalui madrasah hebat bulan Ramadhan yang mulia ini. Jika Allah Subhanahu wa ta’ala menghendaki untuk kita tidak lagi berkemampuan untuk memanfaatkan bulan Ramadhan ini, sudah tentu hal itu cukup mudah. Boleh sahaja kita diberikan kesakitan yang dahsyat yang dengan sebabnya kita tidak mampu berpuasa. Atau, mungkin sahaja kita ditimpakan kemalangan sehingga kita tidak lagi mampu berdiri untuk solat tarawih serta solat-solat sunat yang lain. Hampir setiap hari kita boleh membaca di dalam surat khabar, atau melihat di kaca televisyen berita tentang kematian melalui kemalangan dan sebagainya. Seharusnya hal tersebut memberikan kita satu pengajaran bahawa seandainya Allah menghendaki untuk menjadikan Ramadhan ini yang terakhir buat kita, maka pasti mudah sahaja untuk Allah mencabut nyawa kita. Justeru, sewajarnya kita bersyukur kepada Allah Subhanahu wa ta’ala atas kesempatan yang masih diberikan kepada kita ini.

Seterusnya, seharusnya kita mengambil kesempatan dengan sebaik-baiknya di bulan Ramadhan ini untuk mendapatkan ganjaran dan manfaat dengan sebanyak-banyaknya kerana ibadah puasa di bulan Ramadhan ini dijanjikan dengan ganjaran yang begitu banyak; sehinggakan, sesetengah para ulama menyatakan bahawa sesiapa yang tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh membanyakkan ibadah di bulan Ramadhan bagi mengejar dan merebut manfaatnya, maka orang tersebut adalah orang yang bodoh.

Analoginya mudah: bayangkan, ada seseorang datang kepada kita menawarkan kepada kita wang tunai bernilai jutaan ringgit dengan syarat kita melakukan beberapa kerja mudah seperti memujinya, mengucapkan terima kasih kepadanya dan sebagainya. Nah, bukankah orang yang melepaskan peluang duniawi seperti itu, adalah orang yang bodoh. Maka, begitu jugalah orang yang melepaskan peluang mendapatkan ganjaran tidak terhingga yang disediakan melalui ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mulia ini.


Hadith terbaik yang menceritakan kepada kita tentang kelebihan ibadah puasa di bulan Ramadhan adalah sebuah Hadith Qudsi yang dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim di dalam Sahih mereka masing-masing.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda (yang kira-kira bermaksud):

Setiap amalan anak Adam itu baginya. Satu kebaikan dibalas dengan 10 ganjaran hingga 700 kali ganda.” Firman Allah ‘azza wa jalla: “Melainkan puasa, sesungguhnya ia adalah bagiKu dan Akulah yang akan membalasnya. Sesungguhnya dia meninggalkan syahwat, makanan dan minumannya semata-mata kerana Aku. Bagi orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan: kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya, dan bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi.” (Dikeluarkan oleh Bukhari, Muslim, Ahmad, an-Nasa’I, Ibnu Majah, al-Darimi)

Di dalam hadith tersebut dijelaskan kepada kita bahawa setiap amal kebaikan yang dilakukan itu adalah untuk kita. Hal ini bermakna, setiap amal kebaikan itu, di hari akhirat kelak, akan menjadi ‘bekalan’ kita ketika dihisab. Di hari akhirat kelak, apabila ada seseorang yang pernah membuat kejahatan atau kezaliman ke atas seseorang, maka orang yang dizalimi atau disakiti itu akan datang kepada orang yang menzalimi atau menyakiti itu untuk menuntut haknya. Lalu, orang yang menzalimi itu akan terpaksa memberikan amal kebaikannya itu tadi kepada orang yang dizaliminya itu. Maka setiap amal kebaikan kita, akan kita jadikan sebagai ‘bayaran’ kepada orang yang pernah kita zalimi seperti orang yang pernah kita curi barangnya, pernah kita tebarkan fitnah atasnya, pernah kita umpat, keji dan sebagainya.

Kecuali puasa, kerana Allah Subhanahu wa ta’ala menyatakan dengan jelas bahawa puasa itu adalah bagi Allah, dan Allah yang membalasnya. Maka, amal kebaikan puasa tidak dibenarkan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala untuk dijadikan sebagai tebusan terhadap kesalahan-kesalahan yang pernah kita lakukan di dunia ini. Mudah-mudahan, andaikata amal kebaikan kita yang lain kelak habis disebabkan banyaknya kejahatan yang kita lakukan, dengan sebab amalan puasa kita itu boleh menjadi penyebab untuk kita dimasukkan ke dalam syurga Allah.

Begitu juga dinyatakan di dalam hadith tersebut, bahawa bagi setiap amal kebaikan yang lain, kita akan diberikan ganjaran antara 10 ke 700 kali ganda ganjaran. Apabila seseorang daripada kita melakukan kebaikan, maka para malaikat akan mencatatkan kebaikan tersebut, bergantung kepada nilai ganjaran yang akan diperolehi berdasarkan kepada keikhlasan dan sebagainya.

Namun, bagi ibadah puasa ini tidak ada hadnya. Oleh sebab itu, tuan guru yang dikasihi, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki menyatakan bahawa ibadah puasa ini tidak dapat dicatat oleh para malaikat berapakah ganjaran yang hendak diberikan. Maka, ganjaran bagi ibadah puasa ini akan diberikan sendiri oleh Allah Subhanahu wa ta’ala dan oleh sebab itulah dinyatakan juga di dalam hadith tersebut, kegembiraan kedua yang akan diperolehi oleh orang yang berpuasa adalah apabila bertemu dengan Tuhannya kerana pada ketika itu ia akan diperlihatkan dengan ganjaran daripada ibadah puasanya. Inilah ganjaran eksklusif ibadah puasa di bulan Ramadhan ini.

Maka, untuk mendapatkan ganjaran yang hebat tersebut, perlulah kita bermujahadah dan memastikan kualiti ibadah puasa kita berada di tahap yang terbaik.

Ingatlah bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam ada memberikan satu peringatan kepada kita bahawa di kalangan semua umat Islam yang berpuasa di bulan Ramadhan, begitu ramai sekali yang gagal mendapatkan apa-apa manfaat daripada kelebihan ibadah ini melainkan sekadar merasakan lapar dan dahaga.

Mudah-mudahan kita tidak termasuk di dalam golongan itu. Apa yang penting adalah kita memastikan kita memelihara semua arahan dan suruhan Allah Subhanahu wa ta’ala, dan membanyakkan bersabar. Hal ini demikian kerana sebahagian besar daripada amalan puasa itu adalah sifat sabar dan balasan bagi sifat sabar tiada batasnya. Sabar terbahagi kepada tiga jenis yakni sabar dalam mentaati perintah Allah, sabar dalam meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah, serta sabar dalam menerima taqdir Allah yang perit dan menyakitkan.

Justeru, bagi memastikan kita mendapat kualiti ibadah puasa yang terbaik hendaklah kita bersabar dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. Segala yang wajib hendaklah kita laksanakan dan segala yang haram hendaklah dijauhi. Bersabarlah dalam menghadapi keperitan rasa lapar dan dahaga, rasa lemah badan, serta apa-apa sahaja ujian dan dugaan dalam bentuk kesusahan, kesempitan, kerunsingan dan sebagainya yang mungkin dihadapkan kepada kita oleh Allah Subhanahu wa ta’ala dengan tujuan untuk menguji dan melatih keimanan kita. Hendaklah kita yakin dengan janji dan jaminan Allah Subhanahu wa ta’ala kerana janji Allah itu janji yang benar. Wallahu’alam.

Ramadhan Dua Zaman

Ramadhan satu nasib tak serupa
Peluangnya sama natijah berbeza

Ramadhan mereka gemilang cemerlang
Mukmin berjasa diawal zaman
Ramadhan kami malam terbuang
Muslim berdosa di akhir zaman

Mereka gembira kerana kedatanganmu
Kami gembira dengan pemergianmu
Malam mereka meriah disimbah Nur al-Quran
Tapi malam kami muram bertemu dengkur

Mereka berlumba mengejar makrufat
Tapi kami lesu diburu nafsu
Hati mereka bercahaya digilap takwa
Jiwa kami gelap didera dosa

Takbir mereka takbir kemenangan
Hadiah mujahadah sebulan ramadhan
Takbir kami lesu tak bermaya
Tanda kalah lemah tak berdaya
Puasa sekadar lapar dan dahaga

Puasa : Mengempang Atau Menahan?

Mengawal nafsu seperti mengawal kereta, kita mesti ada brek. Dengan brek kita boleh berhenti. Tapi bila brek sudah rosak atau haus, maka kereta akan meluncur hingga terbabas.”

“Benarkan puasa kita selama ini sudah berfungsi sebaga
i brek pada nafsu kita? Benarkan puasa kita sudah menahan? Atau sekadar mengempang? tanya saya.

Maksud awak?”

Siang kita mengempang nafsu makan, bila berbuka kita lepaskan semahu-mahunya. Jika demikian, puasa kita bukan melemahkan kejahatan nafsu, malah melatihnya agar lebih kuat hingga menjadi jana kuasa,” jelas saya.

Betul tu, selalunya apabila bulan puasa, makanan yang disediakan untuk berbuka jauh lebih enak, lebih banyak berbanding bulan-bulan yang lain. Itu mengempang nafsu, bukan menahannya!”

“Belanja dapur bertambah daripada biasa. Nafsu tidak terdidik. Hati pula menjadi resah. Fizikal lembap. Tujuan puasa tidak kesampaian. Rugi dunia, rugi akhirat.”

Jadi mulakan langkah meningkatkan puasa dengan biasa-biasa sahaja sewaktu berbuka. Percayalah, bila lapar, kita lebih berselera. Hanya nafsu sahaja yang merasuk bukan-bukan. Nak itu, nak ini.”

Utamakan “Jangan”

Dalam pergaulan kita dituntut supaya lebih utamakan “jangan”daripada “suruh”. Misalnya: Jangan mengumpat lebih utama daripada memberi nasihat. Ertinya, jika kita tidak mampu memberi nasihat kepada seseorang tidak mengapa, tetapi yang lebih utama jangan mengumpatnya. Jika tidak dapat membantunya, tidak mengapa asalkan jangan menyusahkan. Tak mengapa jika tidak dapat memberi asalkan jangan mencuri. Begitu saya dengar melalui pengajian tafsir Al-Quran tentang pergaulan dalam Islam bulan lalu.

Saya rasa dalam puasa pun begitu juga,” luah saya kepada sahabat sepengajian.

Maksudnya, jangan buat lebih utama daripada suruh buat?”

Saya rasa begitu. Tapi nanti kita tanyalah kepada yang lebih arif. Tetapi dalam Ihya’ Ulumuddin jelas dinyatakan, meninggalkan mengumpat pada siang hari lebih utama daripada solat sunat pada malam hari atau qiamullail."

Dan itu sinonim dengan sebuah hadis yang menjelaskan betapa seorang wanita dikatakan ahli neraka, walaupun banyak solatnya pada malam hari dan banyak puasanya pada siang hari kerana lidahnya selalu menyakiti hati jirannya,” tambah sahabat saya.

Hairan, walaupun pada bulan puasa begitu ramai orang yang solat tarawih dan membaca Al-Quran, tetapi persaudaraan dan perpaduan di kalangan kita tidak bertambah kukuh,” balas saya seolah-olah menukar hala perbincangan.

Apa kaitannya antara tarawih dengan perpaduan, baca Al-Quran dengan persaudaraan?” tanya sahabat saya. Dia faham perubahan saya. Sudah lama kami bersahabat. Dia selalu melihat saya mengubah “rencah” tanpa mengubah kuah.

Bersolat, membaca Al-Quran itu meningkatkan iman. Apabila iman meningkat, ukhuwah secara automatik akan meningkat. Iman dan ukhuwah terhubung secara berkadar terus. Jika ukhuwah bermasalah itu petanda iman juga bermasalah.”

Kenapa agaknya? Solat tarawih dan baca Al-Quran pada bulan puasa tidak meningkatkan iman dan persaudaraan?”

Sebab kita terlupa perkara “jangan”. Banyak perkara “jangan” yang kita buat walaupun pada masa yang sama banyak perkara “suruh” yang kita laksanakan.”

Maksudnya?”

“Banyak baca al-Quran tetapi mengumpat kita buat juga. Banyak solat, tetapi hasad dengki terus dilayan. Banyak yang sunat-sunat kita buat, tetap
i pemarah, prasangka, malas terus kita ikutkan.”

“Jadi kau rasa elok sahaja kita tinggalkan ‘jangan’ walaupun tidak buat apa yang disuruh?”

“Jangan pula begitu… kita bercakap tentang usaha meningkatkan puasa. Ya, cuba kita tingkatkan puasa tahun ini dengan meninggalkan perkara ‘jangan’ di samping membuat perkara ‘suruh’!”

Bergaduh Pasal Moreh

Percaya atau tidak, ada ahli jemaah masjid yang berkrisis kerana berebut giliran buat kenduri moreh.

“Tak patut, dia ambil malam jumaat. Sedangkan saya dah
booking dulu. Ah, mentang-mentanglah dia ada pangkat, ada duit, giliran saya dikebasnya. Entah-entah AJK masjid pun dah bersubahat sama.”

Tenanglah Pak Haji, niat dan usaha Pak Haji telah dinilai oleh Allah. Memberi makan orang berbuka puasa ini sangat besar nilaiannya di sisi Allah.”

Sebab tu saya nak malam Jumaat. Lebih berkat. Malah lebih ramai ahli qariah kita yang dating. Ni saya dapat malam Selasa, orang kurang. Kalau dapat malam minggu, kira OK juga.”

“Sabar la Pak Haji. Kami semua faham hasrat Pak Haji tu. Lagipun belum tentu malam Selasa tu tak ramai orang. Kadang-kadang mengejut sahaja musafir dan pekerja-pekerja asing dating berbuka di masjid kita ni.”

Saya tak mahu musafir. Saya tak hendak pekerja-pekerja Bangla, Pakistan yang ramai…Saya nak orang tempatan makan kenduri saya.”

Eh Pak Haji, yang paling utama kita berikan makanan bukankah orang yang lebih memerlukan? Musafir tu orang yang penat. Berhenti rehat dan solat. Kekadang kurang belanja atau tak sempat beli makanan, eloklah dia makan kenduri kita. Pekerja asing tu, kekadang lebih susah dan melarat. Bagus kalau kita menolong orang yang susah.”

Mereka tu mana kenal saya? Saya nak orang qariah ini, itu lebih utama. Musafir dan pekerja asing ni siapa? Saya tak kenal mereka, mereka tak kenal saya.”

Yang penting mereka saudara kita. Allah kenal kita semuanya Pak Haji. Puasa mengajar kita ikhlas. Ia ibadah paling tersembunyi, kita curi-curi makan atau sembunyi-sembunyi minum pun orang tak tahu. Allah sahaja yang tahu, tidak seperti solat, haji dan zakat, orang Nampak kita lakukannya. Usahlah bergaduh kerana nak buat baik Pak Haji…”

Itu cerita benar, tahun lepas saya alaminya. Tahun-tahun ini kita akan dengar cerita yang serupa walaupun dalam versi yang berbeza. Betapa agama menjadi ritual yang kosong makna. Masih ramai yang “menyembah” diri dalam sangka menyembah Ilahi.